Alhamdulillah, usaha dan tindakan berani oleh Encik Asri dan rakyat tidak sia-sia akhirnya. Terkini, tertangkap sudah mereka yang disyaki bersubahat dan salah guna kuasa dari kalangan pihak penguasa.
Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak SPRM dan PDRM serta mengharapkan agar usaha-usaha menangkap penguatkuasa yang korup dapat diteruskan di semua jabatan dan malah semua agensi kerajaan.
Jangan biarkan mereka yang korup ini menjadi pelindung kepada perosak-perosak masyarakat seperti taukeh-taukeh judi dan maksiat. Kita juga menyeru agar pantauan terhadap integriti penguatkuasa berlaku di peringkat atasan, bukan sahaja di peringkat bawahan. Jika pembasmian tidak berlaku secara menyeluruh, maka gejala maksiat yang merosakkan masyarakat ini akan terus bermaharajalela.
Pantauan yang lebih kerap perlu dilakukan di ‘hotspot’ yang banyaknya berlaku aktiviti-aktiviti haran sebegini. Ajen-ajen dan perisik-perisik khas sepatutnya dihantar untuk memantau secara lebih rapi. Jika kami pimpinan NGO-NGO yang membuat amar makruf nahi mungkar5 ini pun pihak berkuasa boleh hantar agen dan perisik untuk memantau, mengapakah tidak untuk merisik pusat-pusat maksiat?
Kita juga menggesa agar pihak berkuasa tidak lagi memberikan apa-apa lesen baharu kepada mana-mana pusat perjudian. Mana yang tiada lesen, sepatutnya operasi rampasan dan sitaan itu lebih kasar dan lebih giat berbanding operasi terhadap peniaga-peniaga kecil yang menjual makanan seperti burger di tepi jalan.
Kami, NGO-NGO Islam sedia bekerjasana dengan pihak berkuasa dan satu komiti atau jawatankuasa bertindak perlu dibentuk sebagaimana Kementerian Wilayah Persekutuan pernah membentuk pasukan bersepadu Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) satu ketika dahulu tetapi dimansuhkan kerana isu politik.
Kepada rakyat marhaen semua, kita menyeru agar kita semua terus cakna, memantau dan secara proaktifnya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa termasuk pihak Kementerian Dalam Negeri. Kita tidak boleh harapkan polis atau PBT sahaja, kerana kitalah yang sepatutnya menjadi mata-mata dan membantu mereka dan mereka perlu berbesar hati menerima perkara ini.
Akhir sekali, kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua lapisan masyarakat yang bangkit bersuara hingga menjadi asbab kepada terbukanya mata rakyat terhadap kepincangan yang berlaku. Kita harap agar pihak berkuasa tidak memandang enteng akan usaha rakyat yang ikhlas berjuang demi kesejahteraan bersama.
Wallahu’alam
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
13 Ogos 2020
KembalikanOpsBAH
BanterasKegiatanHaram
Sumber:
Thanks
t.me/PERPAD

